News

Program Kempen Kesedaran Keselamatan,dan Kebersihan Sungai di Kampung Piasau Utara, Miri
Posted on : 06 Nov 2022  Source of News: Lembaga Sungai-Sungai Sarawak
 

Sila Klik Sini Untuk Lihat Gambar Seterusnya

Pada 6 November 2022, pihak Kementerian Pengangkutan, Sarawak, telah menganjurkan Program Kempen Kesedaran Keselamatan,dan Kebersihan Sungai di Kampung Piasau Utara, Miri dan dibantu oleh Lembaga Sungai-Sungai Sarawak. Tujuan program ini dianjurkan adalah untuk meningkatkan kesedaran orang awam untuk memelihara dan menjaga sungai supaya sentiasa bersih dan selamat serta menyerahkan jaket keselamatan kepada nelayan di Kampung Piasau Utara, Miri.

Program ini telah dirasmikan oleh Menteri Pengangkutan, Sarawak, Yang Berhormat Dato Sri Lee Kim Shin, merangkap ADUN N75, Senadin. Sempena dengan program, pertandingan mewarna kanak-kanak sekolah juga telah diadakan pada hari sebelumnya dalam usaha untuk memupuk kesedaran mereka semasa kecil tentang pentingnya menjaga kebersihan sungai. Program ini telah dimulakan dengan dua (2) ceramah yang disampaikan oleh Encik Mohamad Harris Bin Osman dari Lembaga Sungai-Sungai Sarawak bertajuk “Kesedaran,Keselamatan dan Kebersihan Sungai”, Encik Joseph Uyo dari Lembaga Sumber Asli dan Alam Sekitar Sarawak bertajuk “Penjagaan & Pemuliharaan Alam Sekitar.

Dalam ucapan Pengerusi Lembaga Sungai-Sungai Sarawak, YBhg, Dr. Murni Suhaili, objektif utama program begini diadakan untuk menanam dan meningkatkan kesedaran awam berkenaan pentingnya keselamatan dan kebersihan sungai serta persekitarannya, menanam sikap sayang dan cintakan sungai di kalangan Keluarga Malaysia di Sarawak dan meningkatkan perkongsian maklumat dan kerjasama di antara agensi, jabatan Kerajaan dan penduduk tempatan.

Dalam ucapan Yang Berhormat Dato Sri Lee Kim Shin, Menteri Pengangkutan, Sarawak, Program Kebersihan dan Keselamatan Sungai yang dianjurkan adalah selaras dengan objektif Kementerian Pengangkutan, Sarawak, iaitu meningkatkan kualiti hidup rakyat. Ini termasuklah usaha untuk mengurangkan risiko kemalangan jika berlakunya banjir di musim tengkujuh. Beliau menasihati kaum ibu bapa untuk sentiasa mengawasi aktiviti anak-anak terutamanya ketika banjir berlaku serta mematuhi arahan yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa dari masa ke semasa demi menjaga keselamatan masing-masing.  Beliau juga menyeru agar orang awam serta para penduduk sekitar sungai untuk terus menjaga kebersihan persekitaran sungai. Ini amat penting kerana penyakit akan lebih cepat berjangkit dan menular di dalam keadaan banjir ini. Perkara ini boleh berlaku disebabkan segala kekotoran serta sampah sarap yang terkumpul di sekitar sungai akan dibawa oleh air banjir dan membahayakan kesihatan penduduk. Sempena program ini, sebanyak 40 jaket keselamatan telah diserahkan kepada 40 orang nelayan di Kampung Piasau Utara, Miri. 

Turut menghadiri program ini ialah YBhg. Dr. Murni Bin Suhaili, Pengerusi, Lembaga Sungai-Sungai Sarawak, YB Dato Adam Yii, Datuk Bandar, Majlis Bandaraya Miri, Encik Teo Swee Ann, wakil Setiausaha Tetap, Kementerian Pengangkutan, Sarawak, Encik Sam Budi, wakil Pemangku Controller, Lembaga Sungai-Sungai Sarawak, Encik Juan Ubit, wakil Residen Bahagian Miri, Cr. Jeffrey Phang Siaw Foong, Cr. Abdullah Bin Jaini, Encik Samion Bin Ghani, Penghulu Kawasan Piasau, Encik Hipni Bin Sulong, Ketua Kaum Kampung Piasau Utara, Encik Nasir Abd Rahim, Penghulu Kawasan Lutong, Encik Sa’at Hj. Bos, Ketua Kaum Kampung Muhibbah, Kuala Baram, Ketua-Ketua Jabatan serta ahli JKKK Kampung Piasau Utara. Seramai 130 peserta program yang hadir terdiri daripada warga kampung dan jemputan. Maklum balas dari penduduk kampung amat menghargai kehadiran MOTS dan LSS dalam menganjurkan program sebegini dan menyeru diadakan lagi pada masa depan. Tahniah dan syabas warga Kementerian Pengangkutan, Sarawak dan Lembaga Sungai-Sungai Sarawak serta semua yang terlibat.