News

PROGRAM KOMUNITI GOTONG-ROYONG MEMBERSIH SUNGAI SERTA DOKUMENTASI ADAT DAN TANGGUNGJAWAB SOSIAL KORPORAT DI RUMAH KEDIT AK. CHUNDANG @ CHUDANG, SUNGAI
Posted on : 29 Nov 2023  Source of News: Lembaga Sungai-Sungai Sarawak
 

Sila Klik Sini Untuk Gambar Seterusnya

Bersempena dengan Ulang Tahun ke-30 Lembaga Sungai-Sungai Sarawak (LSS), pada 17 November sehingga 20 November 2023, pihak LSS telah mengadakan Program Komuniti Gotong-Royong Membersih Sungai Serta Dokumentasi Adat Dan Tanggungjawab Sosial Korporat di Rumah Kedit Ak. Chundang @ Chudang, Sungai Buloh, Kemalih, Ulu Entabai, Pakan.

Rombongan LSS seramai 19 orang terdiri daripada pegawai dari Ibu Pejabat, Wilayah I, Kuching, Wilayah II, Sibu dan Wilayah III, Miri yang diketuai oleh Penolong Pegawai Penguatkuasa, Encik Jerry Lenggir dan Pengerusi KESSU, Encik Melvin Vana. Turut bersama, 3 orang juruvideo dari Lightcube Studio untuk merakam dokumentasi adat.

Program bermula pada 18 November 2023 dengan melakukan penggambaran dokumentasi adat oleh pihak Lightcube Studio. Penggambaran telah dimulakan dengan ‘Memandikan Anak Kecil di Sungai’. Seterusnya, penggambaran diteruskan dengan memutuskan pertikaian dengan menyelam di sungai dan dengan menyelukkan jari ke dalam buluh yang berisi air panas.

Pada sebelah pagi 19 November 2023, pihak LSS bersama penduduk rumah panjang telah bersama bergotong-royong membersihkan laluan dan menyimen pengkalan ke Sungai Kemalih. Pada sebelah petang, rombongan LSS telah melawat kolam ikan semah dan empurau milik Tuai Rumah Japar ak Penghulu Itam. Pada sebelah malam, pihak LSS telah mengadakan Ceramah Kesedaran Kebersihan dan Kesedaran Keselamatan di Sungai yang telah disampaikan oleh Pembantu Penguatkuasa, KP 22, Encik John Lim.

Syabas kepada kakitangan yang terlibat, Kelab Sukan Dan Rekreasi Lembaga Sungai-Sungai Sarawak (KESSU) dan penduduk Rumah Kedit kerana telah bersama menjayakan program ini. Pihak rumah panjang turut berbesar hati dan mengucapkan ribuan terima kasih kerana telah memilih rumah panjang mereka bagi mengadakan program tersebut dan mengalu-alukan pihak LSS untuk melaksanakan program di masa akan datang.