Maklumat Lembaga

Lembaga Sungai-Sungai Sarawak ditubuhkan pada 1 Oktober 1993 di bawah Seksyen 3 Ordinan Sungai-Sungai Sarawak 1993. Lembaga ini merupakan badan berkanun Negeri yang secara langsung di bawah kawal selia Kementerian Pembangunan Infrastruktur dan Pengangkutan Sarawak. Berkuasa pada 22hb Ogos 2019 Lembaga Sungai-Sungai Sarawak diletakkan dibawah Kementerian Pengangkutan Sarawak.

Lembaga Sungai-Sungai Sarawak berfungsi melalui sebuah Lembaga yang diketuai oleh seorang Pengerusi dan ahli-ahli lembaga yang dilantik oleh Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN).

Operasi harian Lembaga Sungai-Sungai Sarawak dikendalikan oleh Controller yang bertindak sebagai Ketua Pegawai Eksekutif untuk Lembaga ini.

Sungai memainkan peranan yang utama dalam aktiviti ekonomi di negeri Sarawak di samping menjadi cara yang mudah untuk pengangkutan penumpang dan barangan. Selain itu, sungai juga merupakan sumber air bersih untuk minuman, riadah dan kegunaan industri.

Usaha awal dari segi perancangan pengangkutan di Malaysia yang dilakukan dalam tahun 1968 tidak mengambil kira pengangkutan melalui sungai.

Antara sebabnya adalah di Semenanjung Malaysia keutamaan diberikan kepada pembangunan jalan raya dan landasan kereta api kerana kebanyakan sungainya tidak sesuai untuk perjalanan bot.

Pada bulan Oktober 1989, Kerajan Negeri Sarawak telah melantik DHV Consultants untuk menjalankan kajian kemungkinan terhadap pengangkutan pesisir dan sungai di Sarawak.

Ordinan Sungai-Sungai Sarawak, 1993 telah diluluskan oleh Dewan Undangan Negeri Sarawak dalam bulan Mei 1993, dan dikuatkuasakan pada bulan Oktober 1993. Dengan kuasa Ordinan ini, Lembaga Sungai-Sungai Sarawak telah ditubuhkan pada bulan Oktober 1993.