News

LAWATAN KERJA YB DATUK LEE KIM SHIN, MENTERI PENGANGKUTAN SARAWAK KE SUNGAI SARAWAK BARRAGE DAN SHIPLOCK, LEMBAGA SUNGAI-SUNGAI SARAWAK.
Posted on : 13 Aug 2020  Source of News: Lembaga Sungai-Sungai Sarawak
 

Pada 11 Ogos 2020, lawatan kerja Menteri Pengangkutan Sarawak dimulakan dengan mendengar taklimat disampaikan oleh Pengurus Besar Kuching Barrage Management Sdn. Bhd. iaitu Captain Pui Voon Sen dan taklimat Lembaga Sungai-Sungai Sarawak yang disampaikan oleh Lt. Col. Ding Tiew Wong (Bersara). Lembaga Sungai-Sungai Sarawak (LSS) akan mengemaskini operasi Barrage and Shiplock Sungai Sarawak dalam usaha menambahbaik perkhidmatannya dan pada masa yang sama mengurangkan kos operasi. Pada masa ini operasi Barrage dan Shiplock dikendalikan mengikut keperluan semasa dan keadaan tersebut telah menyumbang kepada kos penyelengaraan yang tinggi setiap tahun. Walaubagaimanapun, LSS perlu memastikan agar Barrage dan Shiplock sentiasa berada dalam keadaan terbaik pada setiap masa khususnya bagi mengawal keadaan paras air di Sungai Sarawak untuk mengurangkan kejadian banjir di Bandaraya Kuching.

Lawatan YB Datuk Lee Kim Shin ke Barrage dan Shiplock adalah untuk meninjau keadaan semasa Barrage dan Shiplock serta melihat keperluan yang perlu ditambahbaik. Disamping itu, juga untuk mengenalpasti keperluan segera Barrage dan Shiplock untuk memastikan ianya dapat beroperasi dengan sempurna tanpa gangguan bagi mengelak musibah kepada Bandaraya Kuching khususnya di musim tengkujuh. Turut hadir dalam lawatan ini ialah Yang Berusaha Encik Buckland Bangik, Setiausaha Tetap Kementerian Pengangkutan Sarawak; Encik Teo Siew Ann, Penasihat Sektor Maritim dan Riverine, Kementerian Pengangkutan Sarawak, Lt. Col Ding Tiew Wong (Bersara) Pemangku Controller, Encik Jerry Liew Tze Sieng, Assistant Controller (Barrage & Shiplock) dan Pegawai Lembaga Sungai-Sungai Sarawak serta Pegawai Barrage dan Shiplock.


Sungai Sarawak Barrage dan Shiplock merupakan salah satu komponen kepada projek Kerajaan Negeri iaitu “The Sungai Sarawak Regulation Scheme” (SSRS) yang dilaksanakan oleh JKR Sarawak dan setelah siap diserahkan kepada LSS pada tahun 1997 untuk tujuan pengoperasian dan penyelenggaraan. Komponen lain dalam SSRS adalah:

(i) Tambak Bako
(ii) Tambak Pending
(iii) Kuching Barrage Bridge dan Jalan Keruing
(iv) Enam (6) unit Stesen Telemetri
(v) Lapan Belas (18) Stesen Telemetri tambahan yang lengkap dengan Sistem Amaran Awal Banjir telah dibina dan mula beroperasi pada Tahun 2005.


Objektif pembangunan SSRS adalah untuk:-

(i) Meningkatkan hubungan jalan darat melalui pembinaan tambak merentangi Sungai Sarawak dan Sungai Santubong;

(ii) Melindungi bekalan air minuman di Bandaraya Kuching;
(iii)Mengurangkan aliran kelodakan ke kawasan pantai-pantai strategik (Santubong dan Damai)

(iv)Mengurangkan banjir semasa air pasang perbani di musim landas di Bandaraya Kuching; dan

(v) Menambaik keadaan tebingan sungai di Bandaraya Kuching.

Semenjak beroperasi pencapaian SSRS khususnya Barrage dan Shiplock mengikut objektif yang ditetapkan adalah seperti berikut:

(i) Kenderaan besar seperti lori didapati berkurangan di pusat bandaraya kerana kenderaan ini telah menggunakan laluan di kawasan Barrage dan Shiplock.

(ii) Paras air di kawasan hulu bendungan terkawal mengikut paras yang ditetapkan. Pada waktu musim tengkujuh paras air diturunkan bagi tujuan mewujudkan takungan atau ruang simpanan untuk menampung air hujan yang berlebihan dari hulu sebelum ianya dibuang ke laut sewaktu air surut.

(iii) Pada musim kemarau paras air dikekalkan pada 0.5m L.S.D dan pintu Barrage dan Shiplock ditutup bagi tujuan mengawal kemasukan air masin khususnya sewaktu air laut pasang.

(iv) Pada musim kemarau juga kemasukan air pada paras yang tinggi terpaksa juga dilakukan bagi tujuan “mencuci” parit dan anak sungai yang berbau untuk mengelak kemungkinan barlakunya wabak penyakit.

(v) Pergerakan kelodak lumpur ke pantai Santubong dan Damai telah berkurangan kerana pada penglihatan mata kasar pantai-pantai tersebut lebih bersih selepas enam (6) bulan Barrage and shiplock beroperasi.

(vi) Program mitigasi banjir juga menunjukkan keberkesanannya melalui Barrage and shiplock .Pembukaan dan penutupan pintu Barrage dan shiplock dilakukan mengikut keperluan dan data yang diterima dari Remote Radio Control System (RRCS). Pada tahun 2016 sistem RRCS ini telah dipertingkatkan daripada Sistem Analog kepada Digital untuk memastikan ianya dapat memberi data yang lebih tepat. Langkah ini akan dapat mengawal keadaan banjir di sekitar Bandaraya Kuching dengan lebih efisien.

Projek SSRS yang diilham dan dibina lebih dua puluh (20) tahun yang lalu telah memberi banyak manfaat kepada kita semua khususnya penduduk yang tinggal di Bandaraya Kuching. Kita sentiasa berusaha untuk memastikan Barrage dan Shiplock berfungsi dengan baik pada sepanjang masa untuk kesejahteraan kita semua

.