News

TERMINAL BAKO YANG LEBIH EFISIEN, SELAMAT, SELESA- PEMANGKIN KEPADA INDUSTRI PELANCONGAN SARAWAK
Posted on : 09 Apr 2021
 

Pada 8 April 2021, jam 9.30 pagi bertempat di Terminal Bako, Majlis Perasmian ini telah dirasmikan oleh Yang Berhormat Datuk Lee Kim Shin Menteri Pengangkutan Sarawak, turut disaksikan oleh Menteri Muda Pengangkutan Sarawak YB Datuk Dr. Jerip Anak Susil, ADUN N.19 Mambong dan YB. Dr. Hazland Bin Abang Hipni, ADUN N.5 Demak Laut, Yang Berbahagia Dr. Murni Bin Suhaili, Pengerusi Lembaga Sungai-Sungai Sarawak, Yang Berbahagia Datu Buckland Bangik, Setiausaha Tetap Kementerian Pengangkutan Sarawak. Sempena dengan Majlis Perasmian Terminal Bako taklimat projek penaiktarafan struktur bangunan telah disampaikan oleh Encik Sam Anak Budi iaitu Assistant Controller-Pembangunan & Penyelenggaraan Infrastruktur Sungai
. Projek penaiktarafan Terminal Bako adalah sebahagian dari inisiatif dan pelan strategik dengan peruntukan dari Kerajaan Negeri Sarawak melalui projek Perbangunan Lembaga Sungai-Sungai Sarawak sejak 2021.

Semasa majlis perasmian berlangsung YB Datuk Lee Kim Shin telah memberi ucapan kepada tetamu yang dijemput berkenaan projek penaiktarafan Terminal Bako. Dalam ucapan beliau memaklumkan bahawa kos projek ini adalah sebanyak RM2.68 juta dibawah Projek Pembangunan Rancangan Malaysia Ke-sebelas. Projek ini disiapkan dalam tempoh 15 bulan dan siap sepenuhnya pada bulan Januari 2021. Tujuan penambahbaikan Terminal Bako ini adalah bagi menyediakan fasiliti yang lebih efisien, selamat dan selesa. Pelancong yang berhasrat ke Taman Negara Bako dapat menggunakan perkhidmatan pengangkutan awam yang sedia ada dari Bandaraya Kuching ke Terminal Bako. Perjalanan Destinasi Taman Negara Bako dapat diteruskan melalui Terminal Bako.

Beliau turut memaklumkan perkarangan Terminal telah ditambahbaik dengan pembinaan pagar di sekeliling kawasan, pintu masuk terminal dan pondok keselamatan. Penambah baikan ini akan menjadi pemangkin dan menggalakkan lagi tarikan daripada pengunjung terutamanya pelancong antarabangsa yang hendak ke Taman Negara Bako. Selain daripada itu, penaiktarafan Terminal Bako juga mampu mempertingkatkan industri sektor pelancongan dan mampu meningkatkan ekonomi setempat terutamanya aktiviti pemasaran hasil perikanan di kampung-kampung yang berdekatan.

 

Beliau juga mengatakan bahawa Terminal Bako merupakan salah satu fasiliti utama bagi menghubungkan pelancong dari Kampung Bako ke Taman Negara Bako. Menurut rekod statistik, jumlah pengunjung dalam tempoh tiga tahun lepas dari tahun 2018 sehingga 2020 adalah sebanyak 137,886 orang. Terminal Bako akan diurustadbir oleh Lembaga Sungai-Sungai Sarawak dan akan diwartakan di bawah Peraturan Trafik Sungai-Sungai Sarawak 1993 dan Ordinan Sungai-Sungai Sarawak 1993. Pihak Lembaga Sungai-Sungai Sarawak telah menempatkan anggota penguatkuasa bagi memantau operasi bot adalah selamat dan tidak membawa penumpang melebihi had dan mengikut kadar tambang yang telah ditetapkan di dalam permit.

Dalam akhir ucapan beliau, beliau berharap kerjasama daripada semua pihak berkepentingan terutama penduduk setempat agar membantu menjaga terminal yang baharu ini termasuk kawasan di sekitar. Dengan suasana persekitaran yang selamat, bersih serta fasiliti yang efisien disamping dilengkapi dengan perkhidmatan bas, dapat membantu mempromosikan secara langsung lebih banyak perhatian pihak luar untuk mengunjungi kawasan di Bako.

Bagi simbolik perasmian ini, YB Datuk Lee Kim Shin telah menandatangani plak perasmian dan menyerahkan Jaket Keselamatan kepada Pengusaha Bot Penumpang Taman Negara Bako dan Persatuan Pengusaha Perkhidmatan Bot Pelancongan Dan Pemandu Pelancong Taman Negara Bako.

Turut hadir dalam majlis tersebut, adalah Leftenan Kolonel Ding Tiew Wong (BERSARA) selaku Pemangku Controller LSS, Tuan Julaihi Bin Shahmad selaku Assistant Controller Wilayah 1-Kuching, Pegawai  Sarawak Forestry, Penghulu dan Ketua Kaum Kampung Bako serta para jemputan.  Dianggarkan lebih kurang 50 orang tetamu yang telah menghadiri majlis perasmian ini dimana  peraturan SOP dan menggunakan MY SEJAHTERA telah dipatuhi mengikut arahan Kementerian Kesihatan Malaysia.