LSS PERKUKUH KESELAMATAN PENGANGKUTAN SUNGAI MELALUI KURSUS MATE <500GT DOMESTIC VOYAGE
MIRI, 6 Oktober 2026 – Lembaga Sungai-Sungai Sarawak (LSS), selaku sekretariat program, dengan kerjasama Kementerian Pengangkutan Sarawak dan Jabatan Laut Malaysia Wilayah Sarawak telah menganjurkan Kursus Mate <500GT Domestic Voyage (Restricted – Sarawak Port Limit & Riverine Only) pada 5 hingga 6 Oktober 2026 di Pejabat Laut Miri, Sarawak.
Kursus tersebut telah disempurnakan oleh Timbalan Setiausaha Tetap, Kementerian Pengangkutan Sarawak, Yang Berusaha Tuan Mohamad Lofti bin Tuah, dan disertai seramai 35 orang peserta.
Kursus ini bertujuan meningkatkan pengetahuan dan kompetensi pengendali bot dalam aspek keselamatan pelayaran, navigasi, peraturan pelayaran serta pengendalian bot. Pengisian kursus merangkumi modul berkaitan perundangan, peraturan mengelak pelanggaran, enjin bot, carta dan kompas, ilmu pelayaran serta bantuan perubatan kecemasan.
Pelaksanaan program ini merupakan kesinambungan usaha pembangunan kompetensi dalam sektor pengangkutan air di Sarawak dan merupakan penganjuran kali kedua bagi tahun 2026, selepas kursus yang sama diadakan di Batang Ai pada April lalu dengan penyertaan seramai 30 orang peserta.
LSS berharap agar inisiatif ini dapat terus memperkukuh kompetensi dan profesionalisme pengendali bot serta meningkatkan tahap keselamatan pengangkutan sungai di Sarawak melalui kerjasama berterusan antara agensi kerajaan.