KUCHING: Timbalan Ketua Menteri Tan Sri Datuk Amar James Masing berkata kerajaan negeri akan meneliti cadangan Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) Siri 2, 2016 agar caj tol dikenakan terhadap semua jenis kapal yang melalui Baraj Kuching. Beliau yang juga Menteri Pembangunan Infrastruktur dan Pengangkutan berkata dalam hal itu kerajaan negeri harus membuat keputusan tepat.
Tambahnya, sebab-sebab caj tol tidak dikenakan ke atas kapal-kapalyang melalui Baraj Kuching ketika ini harus diketahui sebelum sebarang keputusan boleh dibuat.
“Saya agak terkejut juga (mengetahui) kapal-kapal yang melalui baraj tidak dikenakan bayaran.“Saya akan meneliti dan mencari sebab kenapa caj tol tidak dikenakan ke atas kapal yang melalui baraj dan apabila semua sudah terjawab, kerajaan negeri akan membuat keputusan berhubung perkara ini dan ia mesti tepat,” katanya ketika dihubungi semalam.
Masing turut memberi jaminan jika kerajaan negeri mengambil keputusan mengenakan caj tol ke atas kapal-kapal yang melalui baraj pada masa akan datang, kadarnya adalah munasabah.
“Saya percaya pada prinsipnya, bayaran perlu dikenakan ke atas barangan atau perkhidmatan tetapi kadar caj dikenakan adalah sangat munasabah sekiranya kerajaan negeri mengambil keputusan mengenakan bayaran tol ke atas kapal-kapal yang melalui Baraj Kuching kelak,” ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas LKAN Siri 2, 2016 yang mengesyorkan agar kerajaan negeri menerusi Lembaga Sungai-Sungai Sarawak (LSS) mengenakan caj tol ke atas kapal-kapal yang melalui Baraj Kuching bagi menambah hasil.
LKAN Siri 2, 2016 berkata semakan Audit mendapati dari 2014 hingga 2016, RM28 juta geran kerajaan telah diterima untuk Akaun Amanah Bendungan Sungai Sarawak dan RM22.77 juta telah dibelanjakan manakala baki akhir akaun tersebut adalah berjumlah RM31.43 juta.
Semakan Audit juga mendapati dari 2014 hingga 2016, LSS telah membelanjakan RN22.77 juta dan daripada jumlah itu RM12.43 juta untuk operator mengikut perjanjian kontrak dibuat dan RM10.33 juta lagi bagi penyelenggaraan pelbagai yang dibiayai LSS.
Sementara itu LSS dalam maklum balas yang diterima Jabatan Audit Negara (JAN) pada 14 September 2017 memaklumkan bahawa caj tol tidak dilaksanakan kini disebabkan beberapa faktor.
Analisis Audit terhadap Penyata Terimaan dan Bayaran Tabung Bendungan Sungai Sarawak dari 2015 hingga 2016 mendapati kos penyelenggaraan baraj meningkat secara mendadak.Pada 2016, berlaku peningkatan sejumlah RM7.90 juta atau 168.4 peratus berbanding perbelanjaan 2015.
Peningkatan perbelanjaan secara mendadak itu, kerana pada 2016, LSS menjalankan kerja penyelenggaraan terhadap komponen utama baraj iaitu silinder hidraulik untuk pintu air serta ‘shiplock’ serta ‘pivot bearing’ untuk pintu ‘shiplock’, pembelian alat ganti mekanikal serta elektrikal dan menjalankan kajian ‘Quantitative Risk Assessment’ (QRA) terhadap baraj.