News

 

KEMPEN KESELAMATAN SUNGAI DAN OPERASI PENGUATKUASAAN SEMPENA CUTI PERSEKOLAHAN PENGGAL PERTAMA SESI 2024/2025 DAN PERAYAAN HARI GAWAI DAYAK TAHUN 2024

Posted on 27 May 2024
Source of News: Lembaga Sungai-Sungai Sarawak

Please Click Here For More

Tarikh : 27 Mei 2024

Masa : 10.00Pagi

Tempat : Terminal Penumpang Kapit

Bersempena dengan cuti persekolahan penggal pertama sesi 2024/2025 dan sambutan perayaan Hari Gawai Dayak yang akan menjelang tiba, Lembaga Sungai-Sungai Sarawak(LSS) telah melancarkan Kempen Keselamatan Sungai dan Operasi Penguatkuasaan di Terminal Penumpang Kapit, Kapit. Majlis telah dirasmikan oleh YB Datuk Jefferson Jamit Anak Unyat, Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Undang-Undang dan Adat Bumiputera), ADUN N.63 Bukit Goram selaku tetamu kehormat. Matlamat utama kempen keselamatan sungai dan operasi penguatkuasaan ini adalah memastikan aspek keselamatan pelayaran bot-bot penumpang yang beroperasi seperti yang termaktub di dalam Ordinan Sungai-Sungai Sarawak, 1993, hendaklah dipatuhi dan bertujuan untuk meningkatkan kesedaran keselamatan di kalangan komuniti sungai yang masih menggunakan bot persendirian sebagai mod pengangkutan utama.

Seramai lapan puluh (80) kakitangan penguatkuasa berserta tujuh (7) buah bot penguatkuasa terlibat di dalam kempen pada tahun ini dengan menfokuskan pemantauan pengoperasian bot penumpang di terminal penumpang dan tempat pendaratan serta rondaan  sungai. Secara amnya, kempen dilaksanakan dalam dua fasa iaitu Fasa 1 bermula pada 26 Mei hingga 31 Mei 2024 dan Fasa 2 dari 3 Jun hingga 4 Jun 2024.

Majlis pelancaran dimulakan dengan upacara adat miring di bangunan terminal. Sejurus upacara miring selesai, rombongan YB Timbalan Menteri dan dif-dif jemputan telah mengagihkan jaket keselamatan kepada komuniti sungai yang berada di sekitar Terminal Penumpang Kapit dan  menyerahkan beg cenderahati yang berisi risalah keselamatan sungai kepada penumpang-penumpang bot ekspres. Semasa majlis ini juga, pemilik dan penumpang bot-bot persendirian di sekitar perairan Batang Rajang yang turut menggunakan pengangkutan air juga diagihkan jaket keselamatan.

Semasa temubual bersama media, YB Datuk Jefferson Jamit ak Unyat menegaskan bahawa pihak Kerajaan mengambil berat aspek keselamatan di sungai dan menyeru semua pihak yang terbabit mengutamakan keselamatan masing-masing semasa menggunakan pengangkutan air. Pengusaha dan pengendali bot penumpang hendaklah memastikan bahawa bot mereka sesuai untuk pelayaran dan operasi yang selamat di sungai, dilengkapi dengan peralatan penyelamat nyawa, dan memiliki Permit Pengangkutan Sungai yang sah. Mereka juga tidak dibenarkan membawa penumpang melebihi jumlah seperti dinyatakan dalam Permit. Kegagalan mematuhi peraturan ini akan dikenakan denda RM5,000.00 dan penjara dua tahun kepada pemilik/juragan, mengikut Seksyen 34 [2] Ordinan Sungai Sarawak, 1993. Pengusaha bot juga diingatkan supaya memastikan kadar tambang adalah seperti yang telah ditetapkan.

Tambahan pula, masyarakat umum yang menggunakan bot terbuka seperti bot laju, bot panjang dan lain-lain adalah dinasihatkan supaya memakai jaket keselamatan dan tidak membawa lebihan muatan.

Turut diingatkan berkenaan dengan insiden baru-baru ini di perairan Batang Balleh yang mengakibatkan lima maut haruslah diambil iktibar betapa pentingnya menggunakan jaket keselamatan semasa menggunakan pengangkutan air. Pihak awam juga dinasihatkan supaya tidak memulakan perjalanan dalam keadaan cuaca buruk dan pada waktu malam, terutamanya di sungai yang mempunyai laluan pelayarannya sempit dan cetek, terutamanya untuk bot panjang. Turut diingatkan supaya berhati-hati semasa melalui kawasan yang berisiko tinggi seperti kawasan jeram, selekoh tajam mahupun struktur jambatan semasa dalam perjalanan.

Oleh itu, Lembaga Sungai- Sungai Sarawak menyeru agar kerjasama daripada pengusaha bot, penumpang, pihak awam dan pengguna sungai untuk mematuhi semua peraturan dan garis panduan keselamatan bagi memastikan pelayaran dalam keadaan yang selamat.

Turut hadir dalam majlis ini ialah Encik Galong Luang, Residen Bahagian Kapit, Lt Kol. Ding Tiew Wong, Controller LSS, Encik Robert Liman Deli, Timbalan Residen Bahagian Kapit, Encik Cerisologo Sabut, Pegawai Daerah Kapit, Encik Calvin Ligong, Pegawai Daerah, Bukit Mabong,  Ketua-Ketua Masyarakat dan Ketua-Ketua Kaum Daerah Kapit, kakitangan LSS dan lebih kurang 150 para jemputan telah hadir dalam program kempen keselamatan sungai ini.

 



image Polls
image Announcement