Please Click Here To View Album
Mulu, 6 Julai 2025 – Lembaga Sungai-Sungai Sarawak telah berjaya menganjurkan Program Kesedaran Keselamatan dan Kebersihan Sungai di SK Batu Bungan, Mulu serta aktiviti gotong-royong di Sungai Melinau pada 4 hingga 5 Julai 2025. Program dua hari ini bertujuan meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap aspek keselamatan sungai dan kepentingan menjaga kebersihan persekitaran air di kawasan Mulu.
Antara aktiviti utama yang dijalankan termasuk Kaunter Terbuka bagi pendaftaran lesen bot dan Permit Pengangkutan Sungai, serta Ceramah Kesedaran Keselamatan Air yang disampaikan kepada murid-murid SK Batu Bungan. Ceramah tersebut memberi penekanan kepada larangan membuang sampah ke dalam sungai dan teknik penggunaan jaket keselamatan dengan betul.
Dalam majlis yang sama, penyerahan jaket keselamatan dan boya keselamatan telah disempurnakan oleh Yang Berusaha Lt. Kol. Ding Tiew Wong (Bersara), Controller, Lembaga Sungai-Sungai Sarawak kepada Guru Besar SK Batu Bungan, En. Rubananthan a/l Paramasveran, sebagai simbolik komitmen pihak berkuasa dalam meningkatkan aspek keselamatan air di kalangan murid sekolah.
Pada 5 Julai, aktiviti gotong-royong memotong dan membersihkan kayu hanyut yang menghalang laluan air dari Mulu Marriott Resort ke Clear Water turut diadakan dengan penyertaan aktif daripada Persatuan Pengusaha Bot Mulu dan komuniti setempat. Aktiviti ini bukan sahaja bertujuan melancarkan laluan pengangkutan air, malah menyemai semangat kerjasama dalam kalangan penduduk untuk memelihara kebersihan sungai.
Di samping itu, Lembaga Sungai-Sungai Sarawak bersama Jabatan Laut Malaysia (Wilayah Sarawak) dan Sarawak Forestry Corporation (SFC) turut meninjau pemasangan papan tanda trafik sungai yang telah siap dipasang tahun ini, sebagai sebahagian daripada usaha mempertingkat keselamatan navigasi di kawasan tersebut.
Program ini berjaya menarik lebih 100 orang peserta yang terdiri daripada guru dan murid SK Batu Bungan, pengusaha bot serta penduduk Kampung Sungai Melinau.
Turut hadir dalam program ini ialah Yang Berusaha Lt. Kol. Ding Tiew Wong (Bersara), Controller, Lembaga Sungai-Sungai Sarawak; Tuan Bianus Bin Muyou, Pengarah Laut, Jabatan Laut Malaysia (Wilayah Sarawak); KK Johnny Epoi, Ketua Kaum Kampung Sungai Melinau; En. Rubananthan a/l Paramasveran, Guru Besar SK Batu Bungan, Mulu; Pegawai dan kakitangan agensi kerajaan yang terlibat.
Program ini mencerminkan komitmen pelbagai pihak dalam mewujudkan persekitaran sungai yang bersih, selamat dan lestari, sejajar dengan usaha memelihara sumber air serta meningkatkan kesejahteraan masyarakat tempatan.