Please Click Here To View Album
Bintulu, 15 Ogos 2025 - Program Kesedaran Kebersihan Sungai
Friends of Rivers anjuran Lembaga Sungai-Sungai Sarawak (LSS) telah berjaya dilaksanakan pada 12 hingga 15 Ogos 2025 di Batang Kemena, Bintulu. Program ini merupakan sebahagian daripada usaha berterusan LSS untuk meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai kepentingan menjaga kebersihan dan keselamatan sungai sebagai nadi kehidupan rakyat Sarawak.
Majlis Penutupan Program telah disempurnakan pada 15 Ogos 2025 oleh Yang Berhormat Dato Henry Harry Jinep, Timbalan Menteri Pengangkutan Sarawak (Sungai dan Laut) selaku tetamu kehormat. Turut hadir ialah Yang Berhormat Tuan Iskandar Bin Turkee, ADUN N.67 Jepak, serta Puan Angellie Stephen Raja, Setiausaha Politik kepada Premier Sarawak yang mewakili Yang Berhormat Tuan Johnny Pang Leong Ming, ADUN N.68 Tanjong Batu. Majlis ini turut dihadiri oleh Lt. Col. Ding Tiew Wong (Bersara), Controller LSS, Encik Awang Mohammed Nizam Bin Awang Ali Bohan, Pegawai Daerah Bintulu, ketua-ketua jabatan kerajaan, wakil-wakil syarikat swasta, pemimpin masyarakat serta para peserta.
Sepanjang program empat hari tersebut, pelbagai aktiviti telah dianjurkan termasuk ceramah pendidikan kesedaran di SK Kampung Baru dan SK Orang Kaya Mohammad, aktiviti gotong-royong membersihkan kawasan tebing sungai bersama komuniti perkapalan dan Persatuan Kapal Nelayan Sarawak (Cawangan Bintulu), serta ceramah kesihatan oleh Pejabat Kesihatan Bahagian Bintulu mengenai bahaya penyakit denggi dan langkah pencegahannya. Pihak LSS juga telah memberikan penerangan tentang kepentingan menjaga kelestarian sungai agar mesej ini dapat sampai terus kepada komuniti yang bergantung kepada sungai dalam kehidupan harian mereka.
Program Friends of Rivers kali ini telah melibatkan penyertaan seramai 600 orang peserta.
Secara keseluruhan, Program Friends of Rivers di Batang Kemena telah mencapai matlamat penganjuran dengan melibatkan kerjasama pelbagai pihak dalam memelihara sungai. Usaha ini bukan sahaja memastikan sungai kekal bersih dan selamat, malah turut memperkukuh kesedaran masyarakat terhadap pentingnya sungai sebagai warisan yang perlu dipelihara untuk generasi akan datang.