LAWATAN SAMBIL BELAJAR KE RUMAH API TANJUNG DATU, LUNDU SEMPENA SAMBUTAN WORLD ATON DAY (WATON) 2025
Posted on 20 Oct 2025
Source of News: Lembaga Sungai-Sungai Sarawak

Lundu, 14–15 Oktober 2025 – Lawatan sambil belajar ke Rumah Api Tanjung Datu, Lundu telah diadakan sempena Sambutan World ATON Day (WATON) 2025. Program ini diketuai oleh YB Datuk Henry Harry Jinep, Timbalan Menteri Pengangkutan Sarawak (Sungai dan Laut) dan disertai oleh seramai 31 peserta rombongan yang terdiri daripada wakil Kementerian Pengangkutan Sarawak, Lembaga Sungai-Sungai Sarawak (LSS), Lembaga Boya dan Api Sarawak (LBAS) serta Jabatan Laut Malaysia Wilayah Sarawak (JLMWSK).
Turut hadir bersama ialah Tuan Bianus Bin Muyou, Pengarah Laut Wilayah Sarawak, yang turut memberikan taklimat berkaitan fungsi dan kepentingan rumah api dalam memastikan keselamatan pelayaran di perairan Sarawak.
Lawatan ini memberi peluang kepada para peserta untuk melihat secara dekat peranan rumah api sebagai salah satu Aids to Navigation (AtoN) penting dalam sistem keselamatan maritim, di samping memahami tanggungjawab serta cabaran pihak Jabatan Laut Malaysia dan LBAS dalam penyelenggaraan kemudahan navigasi di kawasan pesisir pantai dan sempadan perairan negara.