Please Click Here To View Album
Majlis Penutupan dan Penyampaian Sijil Kursus Vessel Traffic Service (VTS) Induction telah diadakan pada 24 Oktober 2025 (Jumaat) di Hotel Grand Margherita, Kuching.
Majlis penutupan telah disempurnakan oleh Puan Lee Siik Ha, yang mewakili Yang Berusaha Lt. Col. Ding Tiew Wong (Bersara), Controller, Lembaga Sungai-Sungai Sarawak (LSS).
Kursus anjuran Jabatan Laut Malaysia (JLM) melalui Institut Latihan Pengangkutan Laut (MATRAIN) ini melibatkan 15 pegawai dan kakitangan LSS, dengan tujuan memberi pendedahan asas mengenai sistem pengurusan trafik vesel (VTS), komunikasi maritim serta keselamatan navigasi sungai.
Dalam ucapan yang dibacakan oleh Puan Lee Siik Ha, beliau menzahirkan penghargaan kepada JLM dan MATRAIN atas penganjuran kursus yang memberi manfaat besar kepada peserta, khususnya dalam meningkatkan keupayaan teknikal serta kefahaman terhadap pengurusan trafik sungai secara profesional.
Beliau turut menekankan bahawa kursus ini sejajar dengan aspirasi Pelan Pembangunan Pasca-COVID-19 Sarawak (PCDS) 2030, yang menumpukan kepada peningkatan kecekapan pengangkutan air, keselamatan sungai, dan pembangunan modal insan dalam sektor maritim negeri.
Pada majlis yang sama, turut diadakan penyampaian Sijil Kompetensi (COC) kepada peserta Kursus Mate < 500GT Domestic Voyage (Restricted Sarawak Port Limit and Riverine Only) yang dilaksanakan oleh LSS dengan kerjasama Jabatan Laut Wilayah Sarawak. Kursus tersebut telah dijalankan di beberapa lokasi termasuk Bakun HEP dan Sungai Belaga, melibatkan 43 peserta tempatan, sebagai sebahagian daripada usaha memperluas latihan keselamatan pelayaran di kawasan pedalaman.
Program latihan seperti ini bukan sahaja memperkukuh profesionalisme dan keselamatan operasi sungai di Sarawak, tetapi juga menyumbang kepada pembangunan sosioekonomi komuniti luar bandar serta mempererat kerjasama antara agensi seperti LSS, JLM dan KPA.
Majlis diakhiri dengan penyampaian sijil kepada para peserta dan ucapan tahniah atas kejayaan menamatkan kursus dengan cemerlang.