11 Februari 2026 - Lembaga Sungai-Sungai Sarawak telah mengadakan sesi taklimat bersama Yang Berhormat Datuk Henry Harry Jinep, Timbalan Menteri Pengangkutan Sarawak (Sungai dan Laut), yang berlangsung di Kementerian Pengangkutan Sarawak.
Sesi taklimat ini diadakan bagi membentangkan status terkini pelaksanaan Projek Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13) yang melibatkan sektor sungai dan laut, serta sesi taklimat berkenaan Proof of Concept (POC) Perahu Tambang oleh Grab Malaysia Sdn. Bhd. Inisiatif POC ini bertujuan meneroka potensi perkhidmatan perahu tambang berasaskan teknologi sebagai alternatif pengangkutan sungai yang lebih cekap, selamat dan mampan.
Turut hadir dalam sesi taklimat tersebut ialah pegawai-pegawai daripada Lembaga Sungai-Sungai Sarawak, Kementerian Pengangkutan Sarawak, Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU) serta wakil Grab Malaysia Sdn. Bhd.
Sesi ini telah menjadi platform perbincangan yang konstruktif bagi memperkukuhkan kerjasama antara agensi kerajaan dan pihak swasta dalam usaha meningkatkan sistem pengangkutan sungai di Sarawak.