News

 

PROGRAM KESEDARAN KESELAMATAN DAN KEBERSIHAN SUNGAI 27 - 28 MAC 2026, RUMAH ARIK, ENATAWAU ILI, KAPIT

Posted on 31 Mar 2026
Source of News: Lembaga Sungai-Sungai Sarawak


Please Click Here To View Album

KAPIT, 28 Mac – Lembaga Sungai-Sungai Sarawak (LSS) terus komited dalam meningkatkan kesedaran masyarakat melalui penganjuran Program Kesedaran Keselamatan dan Kebersihan Sungai di Rumah Arik, Entawau Ili, Kapit, pada 27 hingga 28 Mac 2026.
 
Program bermula dengan aktiviti gotong-royong membersihkan laluan Sungai Bena pada 27 Mac 2026, dari jam 1.00 petang hingga 5.00 petang. Sebanyak enam (6) hot spots laluan sungai yang dikenalpasti iaitu Rantau Baji, Rantau Sejugam, Rantau Pulau Pendam, Rantau Lungun, Rantau Sadong dan Rantau Sebabai yang terhalang oleh longgokan kayu telah dialihkan bagi melancarkan aliran sungai. Aktiviti ini melibatkan kerjasama Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Sungai Arik yang diterajui oleh LSS bersama rakan strategik daripada Jabatan Pengairan dan Saliran (DID) Sarawak Bahagian Kapit, Jabatan Bomba dan Penyelamat, Lembaga Sumber Asli dan Alam Sekitar (NREB), serta Agensi Pembangunan Ulu Rajang (URDA) bagi memastikan keselamatan pengguna perahu panjang yang menjadikan sungai sebagai nadi pengangkutan utama penduduk setempat.
 
Pada sebelah malam, program diteruskan dengan sesi ceramah kesedaran kepada penduduk rumah panjang. Sebanyak enam (6) agensi terlibat dalam sesi ceramah iaitu LSS, DID, URDA, NREB, Jabatan Bomba dan Penyelamat, serta Pejabat Daerah Kapit, dengan fokus kepada aspek keselamatan, kebersihan, pemeliharaan sungai dan persekitaran.
 
Majlis perasmian program pada 28 Mac 2026 telah disempurnakan oleh Yang Berhormat (YB) Wilson Nyabong Ijang, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN N.61) Pelagus. Turut hadir ialah Encik Thomas Geoffrey Kendawang, Pegawai Daerah Kapit; Encik Daniel Batin, wakil kepada Residen Bahagian Kapit, pegawai-pegawai LSS; Ketua-ketua Jabatan berserta wakil, ketua masyarakat dan kaum setempat.
 
Program ini menerima sambutan amat menggalakkan daripada masyarakat setempat, dan berdasarkan rekod adalah dengan jumlah penyertaan seramai 220 peserta. YB Wilson Nyabong Ijang merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua pihak yang terlibat, khususnya LSS, serta jabatan dan agensi berkaitan, JKKK Sungai Arik, dan komuniti yang menyokong dan menyertai program ini.
 
Sehubungan itu, LSS akan terus mempergiatkan inisiatif seumpama ini dengan kerjasama pelbagai agensi dan komuniti rumah panjang bagi memupuk kesedaran berterusan terhadap kepentingan menjaga kebersihan dan keselamatan sungai.
 
Program ditangguhkan pada pukul 1.30 petang.


image Polls
image Announcement