News

 

MAJLIS SAMBUTAN RAMAH TAMAH KONGSI RAYA AIDILFITRI

Posted on 29 Apr 2026
Source of News: Lembaga Sungai-Sungai Sarawak

Please Click Here To View Album
 
Majlis Sambutan Ramah Tamah  Kongsi Raya Aidilfitri antara agensi-agensi Kerajaan di Bangunan Wisma Pelita Tunku, Miri telah berlangsung dengan meriah pada 28 April 2026 bersamaan 10 Zulqaedah 1447 Hijrah. Penganjuran bersama yang memasuki kali ke-4 ini menjadi platform penting dalam memperkukuhkan hubungan silaturahim, semangat kerjasama antara jabatan serta meningkatkan mutu penyampaian perkhidmatan kepada rakyat khususnya di Bahagian Miri.

Majlis ini menghimpunkan enam (6) agensi Kerajaan yang masih beroperasi di Wisma Pelita Tunku, iaitu Jabatan Tanah dan Survei Bahagian Miri, Lembaga Sungai-Sungai Sarawak (LSS) Wilayah III Bahagian Miri, Jabatan Bekalan Air Luar Bandar (JBALB), Lembaga Sumber Asli dan Alam Sekitar (NREB), Jabatan Veterinar Bahagian Miri serta WPT Management Sdn. Bhd.

Bagi tahun 2026, Jabatan Tanah dan Survei Bahagian Miri telah diberi penghormatan sebagai tuan rumah majlis, manakala pada tahun sebelumnya, penganjuran telah dikendalikan oleh Lembaga Sungai-Sungai Sarawak (LSS). Pemilihan penganjuran secara bergilir ini mencerminkan komitmen berterusan setiap agensi dalam memupuk persefahaman, semangat berpasukan dan budaya kerja yang harmoni.

Majlis turut diserikan dengan kehadiran tetamu jemputan khas iaitu wakil Residen Bahagian Miri serta Pegawai Daerah yang bersama-sama memeriahkan sambutan dan memberi sokongan terhadap usaha memperkukuhkan jaringan kerjasama antara agensi Kerajaan.

Lembaga Sungai-Sungai Sarawak (LSS) telah diwakili dan diketuai oleh En. Mohd. Ariffin Bin Haji Bujang selaku Assistant Controller (Wilayah III), Bahagian Miri, Bintulu dan Limbang. Kehadiran beliau bersama warga LSS menunjukkan komitmen jabatan dalam menjalin hubungan strategik dengan agensi-agensi lain demi memastikan perkhidmatan yang lebih cekap, berkesan dan berfokus kepada kepentingan rakyat.

Majlis telah dipengerusikan oleh En. Anthoni Aboi, Penguasa Jabatan Tanah dan Survei Bahagian Miri selaku hos penganjur pada tahun ini. Beliau menzahirkan penghargaan atas kerjasama erat semua agensi yang terlibat serta berharap program seperti ini akan terus menjadi agenda tahunan yang dapat memperkukuhkan semangat perpaduan, persefahaman dan sinergi antara jabatan.

Sambutan Kongsi Raya ini bukan sahaja menjadi medan meraikan kepelbagaian budaya dan perayaan, malah turut menjadi simbol keharmonian, toleransi dan perpaduan dalam kalangan penjawat awam. Dengan semangat kebersamaan yang terus dipupuk, ia diyakini mampu menyumbang kepada sistem penyampaian perkhidmatan awam yang lebih cemerlang, efisien dan mesra rakyat di Bahagian Miri.


image Polls
image Announcement