28–29 April 2026 – Kementerian Pengangkutan Sarawak dengan kerjasama Lembaga Sungai-Sungai Sarawak, Sarawak Energy Berhad dan Jabatan Laut Malaysia (Wilayah Sarawak) telah menganjurkan Program Latihan Mate <500GT Domestic Voyage (Restricted – Sarawak Port Limit & Riverine Only) selama dua hari di Batang Ai.
Program ini disertai oleh seramai 30 orang peserta yang terdiri daripada pengusaha bot dari kawasan Batang Ai dan Lubok Antu. Latihan ini bertujuan meningkatkan tahap kompetensi serta pengetahuan pengendalian bot dalam kalangan pengusaha tempatan, khususnya dalam aspek keselamatan pelayaran, pematuhan peraturan maritim, dan kecekapan operasi di perairan sungai.
Melalui program ini, para peserta didedahkan kepada modul latihan yang merangkumi aspek teori dan praktikal selaras dengan keperluan pensijilan Mate <500GT bagi pelayaran domestik terhad. Inisiatif ini juga merupakan sebahagian daripada usaha berterusan kerajaan dalam memperkasa industri pengangkutan air di Sarawak, khususnya di kawasan pedalaman yang bergantung kepada pengangkutan sungai sebagai mod utama perhubungan.
Penganjuran program ini diharapkan dapat melahirkan lebih ramai pengendali bot yang berkelayakan, berdisiplin serta mematuhi standard keselamatan yang ditetapkan, sekali gus menyumbang kepada kesejahteraan komuniti setempat dan pembangunan sektor pengangkutan air negeri.