Please Click Here To View Album
20 Jun, Batang Lassa, Sibu - Lembaga Sungai-Sungai Sarawak (LSS) telah menganjurkan Program Keselamatan dan Kebersihan Sungai di Rh Jimbau Anak Damu, Batang Lassa, Sibu pada 20 Jun 2026 bagi meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai aspek keselamatan penggunaan pengangkutan sungai serta kepentingan menjaga kebersihan dan kelestarian alam sekitar.
Program tersebut telah dirasmikan oleh Yang Berhormat Dr. Haji Safiee bin Haji Ahmad, Pengerusi Lembaga Sungai-Sungai Sarawak merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) N.43 Daro. YB Dr. turut menyempurnakan penyerahan 50 buah jaket keselamatan, 14 buah kepada Rh Jimbau Anak Damu dan 36 buah kepada SK Batang Lassa sebagai usaha memperkukuh budaya keselamatan dalam kalangan komuniti yang masih bergantung kepada pengangkutan sungai dalam kehidupan seharian
Selain itu, aktiviti gotong-royong kebersihan turut diadakan dengan kerjasama penduduk rumah panjang bagi memupuk semangat kerjasama serta tanggungjawab bersama dalam memastikan sungai dan kawasan sekitarnya sentiasa bersih dan selamat.
Seramai 200 orang penduduk rumah panjang di sekitar Batang Lassa serta murid-murid SK Batang Lassa telah menyertai sesi ceramah dan perkongsian ilmu yang disampaikan oleh Lembaga Sungai-Sungai Sarawak (LSS) dan Lembaga Sumber Asli dan Alam Sekitar Sarawak (NREB) mengenai aspek keselamatan sungai, kebersihan dan pemeliharaan alam sekitar.
Usaha seperti ini diharap dapat menyemai budaya keselamatan dan tanggungjawab terhadap pemeliharaan alam sekitar dalam kalangan komuniti rumah panjang dan generasi muda agar sungai terus menjadi sumber kehidupan yang selamat dan lestari.
Turut hadir ialah Encik Rahimee bin Dahlan wakil Setiausaha Tetap, Kementerian Pengangkutan Sarawak; Yang Berusaha Lt. Kol. Ding Tiew Wong (Bersara), Controller Lembaga Sungai-Sungai Sarawak; wakil-wakil agensi kerajaan serta para pemimpin masyarakat setempat.