News

 

LSS TERUS PERKASA KESEDARAN KESELAMATAN DAN KEBERSIHAN SUNGAI DI KAMPUNG SELALANG, SARIKEI

Posted on 25 Jun 2026
Source of News: Lembaga Sungai-Sungai Sarawak


Please Click Here To View Album

21 Jun 2026, Sarikei – Lembaga Sungai-Sungai Sarawak (LSS) telah menganjurkan Program Keselamatan dan Kebersihan Sungai di Dewan Kampung Selalang, Sarikei bagi meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai aspek keselamatan penggunaan pengangkutan sungai serta kepentingan menjaga kebersihan dan kelestarian alam sekitar.

Program tersebut telah dirasmikan oleh Yang Berhormat Datuk Haji Len Talif Salleh, Timbalan Menteri Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar Sarawak merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) N.41 Kuala Rajang. YB Datuk turut menyempurnakan penyerahan sebanyak 30 buah jaket keselamatan kepada tiga buah kampung iaitu Kampung Masjid Selalang, Kampung Bunga Tanjong Selalang dan Kampung Hilir Selalang sebagai usaha memperkukuh budaya keselamatan dalam kalangan komuniti setempat.

Selain itu, aktiviti gotong-royong kebersihan telah diadakan sehari sebelum program dengan kerjasama penduduk Kampung Selalang dan Lembaga Sungai-Sungai Sarawak. Aktiviti tersebut berjaya memupuk semangat kerjasama dan tanggungjawab bersama dalam memastikan sungai serta kawasan persekitarannya sentiasa bersih dan selamat.

Seramai 200 orang peserta telah mengikuti sesi ceramah dan perkongsian ilmu yang disampaikan oleh Lembaga Sungai-Sungai Sarawak (LSS), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia serta Majlis Daerah Sarikei (MDS) berkaitan aspek keselamatan sungai, pencegahan kebakaran, pemeliharaan alam sekitar serta peraturan dan pelesenan haiwan peliharaan.
    
Program ini bukan sahaja berjaya meningkatkan kesedaran mengenai keselamatan dan kebersihan sungai, malah turut mengeratkan hubungan kerjasama antara komuniti setempat dan agensi kerajaan dalam memastikan sungai terus kekal bersih, selamat dan terpelihara.

Turut hadir ialah Yang Berhormat Dr. Haji Safiee bin Haji Ahmad, Pengerusi Lembaga Sungai-Sungai Sarawak; Encik Rahimee Bin Dahlan, wakil Setiausaha Tetap Kementerian Pengangkutan Sarawak; Yang Berusaha Lt. Kol. Ding Tiew Wong (Bersara), Controller Lembaga Sungai-Sungai Sarawak, wakil-wakil agensi kerajaan serta para pemimpin masyarakat setempat.


image Polls
image Announcement