6 Julai 2026 – Timbalan Menteri Pengangkutan Sarawak (Sungai dan Laut), YB Datuk Henry Harry Jinep, telah mengadakan lawatan kerja rasmi ke Terminal Penumpang Marudi (TPM), serta meninjau tapak cadangan pembinaan baharu R.C. Commercial Wharf di Sungai Ridan, Marudi.
Turut mengiringi lawatan ini iaitu Lt. Kol. Ding Tiew Wong (Bersara), Controller LSS, En. Mohammad Ariffin Bin Haji Bujang, Assistant Controller (Wilayah III), LSS Miri, Puan Vanessa Ak Joseph, Pegawai Tadbir, serta kakitangan Pejabat Daerah Marudi.
Lawatan ini bertujuan meninjau kemudahan sedia ada di Terminal Penumpang Marudi. Semasa lawatan, Controller LSS telah memberikan taklimat berkenaan keadaan dan pengoperasian pontoon sedia ada yang berada di dalam keadaan yang baik dan selamat digunakan.
Dalam lawatan tersebut juga, YB Datuk turut meninjau pontoon di New R.C. Pontoon Wharf yang dilaporkan tenggelam pada 18 Januari 2025. Beliau diberikan sedikit taklimat mengenai punca kejadian serta perancangan LSS untuk menggantikan pontoon tersebut.
YB Datuk bersama rombongan turut melawat tapak cadangan pembinaan baharu R.C. Commercial Wharf di Sungai Ridan, Marudi yang telah dipohon oleh YB Datuk Dr. Penguang Manggil, Ahli Dewan Undangan Negeri N.76 Marudi. Beliau menyarankan agar Pejabat Daerah Marudi bersama agensi berkaitan menyediakan justifikasi teknikal yang komprehensif bagi menyokong cadangan projek tersebut, sekali gus memudahkan Kementerian Pengangkutan Sarawak memohon peruntukan daripada Kerajaan Sarawak di bawah Rancangan Malaysia yang akan datang.