Please Click Here To View Album
8 Ogos 2026, Song – Program Kesedaran Keselamatan dan Kebersihan Sungai telah diadakan selama dua (2) hari di Rumah Jerukan, Teluk Jelapik, Katibas Hilir, Song, dengan anggaran penyertaan seramai 200 orang penduduk rumah panjang di kawasan sekitar.
Program yang dianjurkan bagi meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap aspek keselamatan, kebersihan dan kelestarian sungai ini melibatkan pengisian program pada hari pertama melalui sesi ceramah dan perkongsian kesedaran oleh beberapa agensi, termasuk Lembaga Sungai-Sungai Sarawak (Kapit), Jabatan Pengairan dan Saliran (Kapit), Lembaga Sumber Asli dan Alam Sekitar (Kapit), Majlis Daerah Kapit serta Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (Song).
Majlis perasmian telah disempurnakan pada hari kedua oleh Yang Berhormat Encik Lidam Anak Assan, ADUN N.62 Katibas. Dalam ucapannya, beliau menyambut baik penganjuran program seumpama ini dan menggalakkan agar program kesedaran keselamatan dan kebersihan sungai dapat diteruskan pada masa akan datang. Menurut beliau, program sebegini penting dalam memupuk kesedaran orang awam, khususnya komuniti rumah panjang yang terletak berhampiran sungai, mengenai kepentingan menjaga kebersihan serta kelestarian sungai untuk kegunaan bersama dan generasi akan datang.
YB Encik Lidam turut mencadangkan supaya kerjasama berterusan dapat diwujudkan bersama Lembaga Sungai-Sungai Sarawak dalam melaksanakan aktiviti gotong-royong pembersihan sungai pada masa akan datang. Beliau turut menyatakan sokongan terhadap penyediaan keperluan keselamatan seperti jaket keselamatan serta penggunaan bot bagi memastikan aktiviti pembersihan sungai dapat dilaksanakan dengan lebih selamat dan teratur.
Selain aspek kebersihan sungai, YB Encik Lidam turut menggalakkan penglibatan pemandu bot sampan dan bot penumpang yang masih aktif di kawasan Song untuk menyertai kursus keselamatan pengendalian dan pemanduan bot. Langkah ini dilihat penting bagi meningkatkan pengetahuan serta kesedaran para pengendali bot terhadap aspek keselamatan di sungai, sekali gus membantu mengurangkan risiko kemalangan dan memastikan keselamatan pengguna sungai sentiasa terpelihara.
Program ini mencerminkan komitmen berterusan pelbagai agensi dan komuniti setempat dalam memperkukuhkan kesedaran terhadap keselamatan sungai serta memelihara kebersihan dan kelestarian sungai sebagai sumber dan laluan penting bagi masyarakat setempat.
Turut hadir Puan Phlomina Chura, Pegawai Laut selaku wakil Controller Lembaga Sungai-Sungai Sarawak, Encik Harry Bruce Edwin, Pegawai Daerah Song; pegawai-pegawai kanan daripada pelbagai agensi, ketua-ketua kaum dan masyarakat serta tuai-tuai rumah.