PROGRAM KESEDARAN KESELAMATAN DAN KEBERSIHAN SUNGAI DI ADIS TIPORANG, KAMPUNG SEGONG, BAU
29 NOVEMBER 2025, KAMPUNG SEGONG, BAU – Lembaga Sungai-Sungai Sarawak dengan kerjasama Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Segong telah melaksanakan Program Kesedaran Keselamatan dan Kebersihan Sungai di Adis Tiporang, Kampung Segong pada 28–29 November 2025. Program ini bertujuan meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai kepentingan menjaga kebersihan serta keselamatan sungai sebagai aset alam, sumber rekreasi dan warisan komuniti setempat.
Program melibatkan lebih 200 peserta terdiri daripada penduduk kampung dan agensi kerajaan, dengan penceramah jemputan daripada Majlis Daerah Bau dan Lembaga Sungai-Sungai Sarawak. Antara pengisian program ialah gotong-royong pembersihan Sungai Adis, ceramah keselamatan, serta pengagihan lifebuoy kepada pengusaha resort dan homestay di sepanjang sungai.
Majlis penutupan disempurnakan oleh Yang Berhormat Datuk Henry Harry Jinep, Timbalan Menteri Pengangkutan (Sungai dan Laut) merangkap ADUN N.2 Tasik Biru. Beliau turut menyempurnakan acara pelepasan 2,000 benih ikan sebagai simbolik komitmen berterusan terhadap usaha pemuliharaan dan kelestarian sungai.
Turut hadir ialah Lt. Col. Ding Tiew Wong (Bersara), Controller LSS; Encik Constantine Gerald David Anak Jonas mewakili Setiausaha Setiausaha Tetap MOTS; Encik Amy anak Mungga, Ketua Kaum Kampung Segong; Temenggong Bidayuh Atok Derop; dan Pemanca Robert Tom Juin.
Program ini dijangka memberi impak positif terhadap pemeliharaan Sungai Adis selain mengukuhkan kerjasama antara komuniti, agensi kerajaan dan pihak berkepentingan dalam memastikan sungai kekal bersih, selamat dan lestari.