PROGRAM KESEDARAN KESELAMATAN DAN KEBERSIHAN SUNGAI DI KAMPUNG PENGKALAN LUTONG, MIRI
MIRI, 6 Disember 2025 – Lembaga Sungai-Sungai Sarawak (LSS) telah menganjurkan Program Kesedaran Keselamatan dan Kebersihan Sungai di Kampung Pengkalan Lutong bagi meningkatkan kesedaran masyarakat tentang kepentingan memastikan sungai sentiasa bersih, selamat dan terpelihara.
Program yang bermula pada jam 7.00 pagi disertai oleh penduduk kampung, agensi kerajaan serta pelbagai pihak berkepentingan. Aktiviti dimulakan dengan senamrobik, diikuti siri ceramah daripada Majlis Bandaraya Miri (MBM), Sarawak Forestry Corporation (SFC) dan Curtin University Malaysia, yang memberi fokus kepada aspek keselamatan perairan, pemuliharaan biodiversiti dan pengurusan sungai secara mampan. Majlis turut diserikan dengan penyampaian hadiah pertandingan mewarna serta penyerahan cenderamata kepada para tetamu.
Acara turut dimeriahkan dengan kehadiran Yang Berhormat Dr. Haji Safiee Bin Haji Ahmad, Pengerusi LSS, yang membuat lawatan ke tapak pameran sebelum meninjau operasi pembersihan Water Hyacinth di kawasan sungai dari muara Sungai Miri hingga ke Jambatan Pujut By Pass. Lawatan ini menekankan komitmen berterusan kerajaan negeri dalam menangani isu tumbuhan akuatik yang menghalang aliran sungai serta menjejaskan keseimbangan ekosistem.
Majlis perasmian penangguhan telah disempurnakan oleh Yang Berhormat Dato Sri Lee Kim Shin, Menteri Pengangkutan Sarawak merangkap ADUN N.75 Senadin. Turut hadir ialah Yang Berhormat Dr. Haji Safiee Bin Haji Ahmad, Pengerusi LSS; Lt. Col. Ding Tiew Wong (Bersara), Controller LSS; En. Constantine Gerald David, mewakili Setiausaha Tetap, Kementerian Pengangkutan Sarawak; KK Majanah Binti Yusope, Ketua Kampung Pengkalan Lutong; serta Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum dari kawasan Senadin.
Program ini bertujuan memperkukuh kesedaran masyarakat mengenai tanggungjawab bersama dalam memelihara kebersihan dan keselamatan sungai, di samping menggalakkan penglibatan aktif komuniti dalam menjaga sumber air sebagai aset penting negeri Sarawak.