Sambutan Pra Krismas Lembaga Sungai-Sungai Sarawak (LSS) 2025 telah berlangsung dengan meriah pada 12 Disember 2025 bertempat di Ibu Pejabat LSS. Program ini bertujuan memupuk semangat kekeluargaan, perpaduan dan keharmonian dalam kalangan warga kerja LSS.
Antara aktiviti utama yang dianjurkan termasuk pertukaran hadiah, rumah terbuka di setiap tingkat pejabat, serta aktiviti karaoke yang menceriakan suasana dan menggalakkan interaksi mesra antara kakitangan.
Majlis ini turut diserikan dengan kehadiran Yang Berhormat Dr. Haji Safiee Bin Haji Ahmad, Pengerusi LSS, yang telah menyampaikan amanat kepada warga LSS. Dalam ucapannya, beliau menekankan kepentingan nilai kebersamaan, saling menghormati serta komitmen berterusan dalam melaksanakan amanah dan tanggungjawab demi kecemerlangan organisasi.
Sambutan ini bukan sahaja membawa kegembiraan menjelang musim perayaan, malah berjaya mengeratkan hubungan silaturahim serta menyemai semangat kerja berpasukan dalam kalangan warga LSS.