LEMBAGA SUNGAI-SUNGAI SARAWAK (LSS) WILAYAH III, MIRI KOMITED MEMBANTU MENJAYAKAN REGATTA BARAM 2026
Marudi, Sarawak | Regatta Baram 2026
Lembaga Sungai-Sungai Sarawak (LSS) Wilayah III, Miri telah dilantik sebagai agensi teknikal dalam menjayakan penganjuran Regatta Baram 2026 yang telah berlangsung pada 23 hingga 26 Julai 2026, iaitu sebuah acara berprestij yang menghimpunkan komuniti setempat, agensi kerajaan dan pelbagai pihak berkepentingan dalam memartabatkan warisan sukan air serta budaya masyarakat di Baram.
Majlis perasmian Regatta Baram 2026 telah disempurnakan oleh Datuk Patinggi Tan Sri Abang Abdul Rahman Zohari bin Abang Openg, Premier Sarawak, yang sentiasa komited dalam memperkasakan pembangunan kawasan luar bandar serta memelihara warisan budaya negeri Sarawak.
Sebagai agensi yang dipertanggungjawabkan dalam pengurusan sungai dan keselamatan navigasi, LSS Wilayah III, Miri telah menggerakkan pasukan teknikal bagi memastikan keseluruhan penganjuran berlangsung dengan selamat, teratur dan lancar. Antara tanggungjawab utama yang dilaksanakan adalah pemeriksaan laluan perlumbaan, penyelarasan aspek keselamatan navigasi, kawalan pergerakan vesel, pemantauan operasi di sepanjang laluan regatta serta penyediaan khidmat nasihat teknikal kepada Jawatankuasa Penganjur.
Kejayaan Regatta Baram 2026 merupakan hasil kerjasama erat antara Pejabat Daerah Marudi selaku penganjur utama bersama Jawatankuasa Induk Regatta Baram 2026, semua agensi Kerajaan Negeri dan Persekutuan, Pejabat Ahli-Ahli Yang Berhormat, Pusat Khidmat, Residen Bahagian Miri, Pusat Pembangunan Komuniti (PDK), KMKK, ketua-ketua masyarakat, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), pihak media serta semua pihak yang telah menyumbang secara langsung dan tidak langsung.
LSS Wilayah III, Miri sentiasa komited untuk terus memperkukuh kerjasama strategik bersama semua pihak dalam memastikan setiap aktiviti sungai di Sarawak dilaksanakan secara selamat, cekap dan mampan demi kesejahteraan rakyat serta pembangunan negeri.