. 09/04
KUCHING, 2 APRIL 2026 – Mesyuarat Penyelarasan bagi Kursus Mate <500GT Domestic Voyage (Restricted – Sarawak Port Limit and Riverine Only) telah diadakan dan dipengerusikan oleh Encik Leonard Luhat Laing, Pegawai Tadbir (Riverine Safety), di Ibu Pejabat Lembaga Sungai-Sungai Sarawak. Mesyuarat ini bertujuan menyelaras pelaksanaan kursus yang akan berlangsung pada 28 hingga 29 April 2026 di Batang Ai Hydroelectric Plant (HEP). Kursus ini merupakan anjuran bersama Jabatan Laut Malaysia (Wilayah Sarawak) dan Sarawak Energy Berhad. Penganjuran kursus ini memberi tumpuan kepada pengusaha bot di kawasan Batang Ai dan sekitarnya, dengan matlamat meningkatkan tahap kompetensi serta kesedaran keselamatan dalam operasi pelayaran domestik, khususnya di kawasan perairan sungai dan pelabuhan terhad di Sarawak. Turut hadir dalam mesyuarat tersebut ialah Encik David anak Gunda, Pengurus Stesen SEB Batang Ai HEP, serta Encik Hafizul Ab Bakar, Penolong Pegawai Laut, Jabatan Laut Malaysia (Wilayah Sarawak). Penganjuran kursus ini mencerminkan komitmen berterusan pihak berkepentingan dalam mempertingkatkan standard keselamatan dan profesionalisme dalam industri pengangkutan sungai di negeri ini.
. 31/03
Please Click Here To View Album KAPIT, 28 Mac – Lembaga Sungai-Sungai Sarawak (LSS) terus komited dalam meningkatkan kesedaran masyarakat melalui penganjuran Program Kesedaran Keselamatan dan Kebersihan Sungai di Rumah Arik, Entawau Ili, Kapit, pada 27 hingga 28 Mac 2026. Program bermula dengan aktiviti gotong-royong membersihkan laluan Sungai Bena pada 27 Mac 2026, dari jam 1.00 petang hingga 5.00 petang. Sebanyak enam (6) hot spots laluan sungai yang dikenalpasti iaitu Rantau Baji, Rantau Sejugam, Rantau Pulau Pendam, Rantau Lungun, Rantau Sadong dan Rantau Sebabai yang terhalang oleh longgokan kayu telah dialihkan bagi melancarkan aliran sungai. Aktiviti ini melibatkan kerjasama Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Sungai Arik yang diterajui oleh LSS bersama rakan strategik daripada Jabatan Pengairan dan Saliran (DID) Sarawak Bahagian Kapit, Jabatan Bomba dan Penyelamat, Lembaga Sumber Asli dan Alam Sekitar (NREB), serta Agensi Pembangunan Ulu Rajang (URDA) bagi memastikan keselamatan pengguna perahu panjang yang menjadikan sungai sebagai nadi pengangkutan utama penduduk setempat. Pada sebelah malam, program diteruskan dengan sesi ceramah kesedaran kepada penduduk rumah panjang. Sebanyak enam (6) agensi terlibat dalam sesi ceramah iaitu LSS, DID, URDA, NREB, Jabatan Bomba dan Penyelamat, serta Pejabat Daerah Kapit, dengan fokus kepada aspek keselamatan, kebersihan, pemeliharaan sungai dan persekitaran. Majlis perasmian program pada 28 Mac 2026 telah disempurnakan oleh Yang Berhormat (YB) Wilson Nyabong Ijang, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN N.61) Pelagus. Turut hadir ialah Encik Thomas Geoffrey Kendawang, Pegawai Daerah Kapit; Encik Daniel Batin, wakil kepada Residen Bahagian Kapit, pegawai-pegawai LSS; Ketua-ketua Jabatan berserta wakil, ketua masyarakat dan kaum setempat. Program ini menerima sambutan amat menggalakkan daripada masyarakat setempat, dan berdasarkan rekod adalah dengan jumlah penyertaan seramai 220 peserta. YB Wilson Nyabong Ijang merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua pihak yang terlibat, khususnya LSS, serta jabatan dan agensi berkaitan, JKKK Sungai Arik, dan komuniti yang menyokong dan menyertai program ini. Sehubungan itu, LSS akan terus mempergiatkan inisiatif seumpama ini dengan kerjasama pelbagai agensi dan komuniti rumah panjang bagi memupuk kesedaran berterusan terhadap kepentingan menjaga kebersihan dan keselamatan sungai. Program ditangguhkan pada pukul 1.30 petang.
. 12/03
Please Click Here To View Album 9 Mac 2025 – Satu kunjungan hormat dan sesi taklimat berkaitan Projek Mitigasi Banjir di Sarawak telah diadakan bersama YAB Datuk Amar Haji Fadillah Bin Haji Yusof, Timbalan Perdana Menteri Malaysia merangkap Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA), di Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA), Putrajaya. Sesi taklimat tersebut merangkumi beberapa inisiatif penting dalam usaha memperkukuh pengurusan dan mitigasi banjir di Sarawak. Antaranya ialah cadangan pelaksanaan kerja pembaikan hakisan (scouring) di kawasan Sungai Sarawak Barrage, cadangan menaik taraf sistem stesen telemetri bagi meningkatkan pemantauan paras air dan keberkesanan pengurusan banjir, serta cadangan perolehan River Trash Skimmer Boat dan River Trash Collection Boat untuk meningkatkan kecekapan kerja-kerja pembersihan sungai di Sungai Sarawak dan Sungai Miri. Inisiatif-inisiatif ini diharapkan dapat memperkukuh pengurusan sungai, meningkatkan kesiapsiagaan menghadapi banjir, serta memastikan kebersihan dan kelancaran aliran sungai di Sarawak terus terpelihara. Lawatan ini diketuai oleh YB Dato Sri Lee Kim Shin, Menteri Pengangkutan Sarawak. Turut hadir YB Datuk Henry Harry Jinep, Timbalan Menteri Pengangkutan Sarawak (Sungai dan Laut); YB Dr. Haji Safiee Bin Haji Ahmad, Pengerusi Lembaga Sungai-Sungai Sarawak (LSS); YBhg. Datu Wong Hee Sieng, Setiausaha Tetap Kementerian Pengangkutan Sarawak (MOTS); Lt. Col. Ding Tiew Wong (Bersara), Controller LSS; ahli-ahli Lembaga LSS serta pegawai daripada MOTS dan LSS.
2nd Floor, Electra House
Power Street,
93000 Kuching, Sarawak
082-234092 / 234093
082-234096
srb@srb.gov.my